Assalamualaikum

Pengalaman dan tahap pendidikan membezakan cara kita berfikir dan bertindak.

Sunday, March 21, 2010

Peluang bekerja

Bukan semua orang boleh memperolehi kerja dengan senang. Ini adalah disebabkan setiap orang mempunyai kepakaran dan pengetahuan serta pengalaman kerja tertentu selain mempunyai kelulusan. Oleh itu mereka yang tiada kelulusan maka bolehlah menentukan kerja mereka dengan apa yang ditawarkan oleh majikan. Tetapi bagi mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman, mereka juga ingin menggunakan pengetahuan dan pengalaman mereka sebagai sokongan dan kelebihan dalam pekerja baru mereka. Berbeza pula dengan mereka yang mempunyai kelulusan yang semestinya ingin menggunakan kelulusan tersebut sebagai sokongan dan jaminan kepada pekerjaan baru mereka.

Perlukah kita memilih atau mengikut saja dengan apa yang ditawarkan. Sebenarnya ia lebih merumitkan kerana persaingan jawatan akan berlaku tanpa perbezaan antara bakal pekerja dan akhirnya semua orang perlu memulakan dari bawah tanpa diambil kira pengalaman dan kelulusan yang mereka ada.

Tuesday, March 16, 2010

Perumahan Nelayan Benut Rendang

Mengapa perumahan tersebut tergendala sehingga begitu lama. Tidakkah MB telah bertukar ganti dan MB sekarang juga telah lama mentadbir negeri ini. Bagaimana pula dengan Pengarah LKIM Negeri dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan sendiri telah beberapa kali bertukar pengarah dan pengurus. Berapa ramaikah nelayan yang telah meninggal dunia dan bagaimana dengan waris mereka yang selama ini hidup tanpa perhatian.

Apabila seseorang nelayan itu meninggal dunia maka terputuslah hubungan keluarga mereka dengan persatuan kerana keahlian mereka hanya untuk diri sendiri dan semasa hidup sahaja. Bagaimana pula dengan kedudukan nelayan yang tidak lagi keluar kelaut menangkap ikan. Mengapa masih menggunakan kesempatan sebagai nelayan tulen. Tidakkah mereka sepatutnya ditukarkan kategori atau tidak lagi layak sebagai ahli.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/3/15/mstar_berita/20100315155544&sec=mstar_berita

Banyak perkara yang perlu diambil perhatian untuk memberi perkhidmatan yang baik dan adil kepada semua nelayan, ahli, pengguna dan pekerja di persatuan nelayan. Jangan ada mereka yang berpolitik dan mengambil kesempatan dalam urusniaga persatuan nelayan samada politik pembangkang atau politik menyalahgunakuasa dan pengaruh.

Monday, March 15, 2010

Mesyuarat Agong Tahunan

MAT adalah sesuatu yang mesti dilakukan setiap tahun bagi melicinkan urusan pentadbiran dan aktiviti persatuan. MAT juga adalah tempat ahli berkumpul untuk memilih wakil mereka dalam persatuan tersebut selain untuk mengetahui kedudukan kewangan dan operasi persatuan. MAT ini amat penting untuk memastikan persatuan tersebut berada dalam kedudukan yang baik serta berkemampuan dan terhindar dari sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan dalaman.

Ahli lembaga yang di pilih adalah bertanggungjawab terhadap aktiviti persatuan dan pekerja mereka. Walaubagaimanapun mereka perlulah jujur dan bertanggungjawab terhadap tugas dan kuasa mereka semasa melaksanakan tugas di persatuan. Jika mereka tidak berkemampuan maka senanglah pegawai dan pekerja mengambil kesempatan keatas kelemahan mereka. Berkemungkinan mereka mungkin gagal untuk mengesan penyelewengan yang berlaku atau mereka telah dipergunakan untuk menghalalkan cara atau mereka sendiri juga terlibat dalam penyalahgunaan kuasa semasa memimpin dan melakukan penyelewengan terancang sambil berlakun sebagai pemimpin yang bertanggungjawab.

Sedarlah diri siapa kita sebenarnya, matlamat kita memimpin serta ukurlah keupayaan dan kemampuan diri sendiri. jangan menjadi pak turut atau lalang yang mengikut arah angin atau seperti tikus membaiki labu.

Saturday, March 13, 2010

Menuntut ilmu

Belajar dan teruslah belajar sehingga ke hujung nyawa. Ini disebabkan banyak ilmu dunia dan akhirat yang perlu kita tahu untuk terus mengharungi dan menghadapi kehidupan kita ini. Jika kita berilmu maka fahamlah kita akan maksud kehidupan kita dan arah tuju kehidupan kita. Kita juga dapat menilai baik buruknya sesuatu perkara itu dengan baik. Banyak perkara yang diluar jangka akan berlaku dalam kehidupan kita dan kita juga akan bertindak diluar kawalan dan batasan serta keupayaan kita untuk menyelesaikannya.

Dengan ilmu pengetahuan juga kita boleh merancang kehidupan kita dengan lebih teratur dan baik disamping menetapkan sasaran mengikut keupayaan kita yang sebenar. Bukalah mata untuk melihat apa yang ada disekeliling kita dan berusahalah dan merancanglah mengikut keupayaan dan kebolehan kita sebenar untuk memperbaiki diri dan kehidupan kita menjadi lebih baik dan sempurna.

Wednesday, March 10, 2010

Menguji diri

Kita tidak dapat lari dari diuji dan menguji. Setiap perkara yang kita lakukan akan diuji samada kita sendiri yang mengujinya atau oleh orang lain. Ujian amat perlu dilakukan untuk menentukan tahap kefahaman dan kepandaian kita. Jika kita takut diuji maka sebenarnya kita tidak yakin dengan kebolehan dan kekuatan diri sendiri. Ujian juga boleh menentukan tahap keupayaan kita untuk terus bersaing danmenghadapi kehidupan hari esok. Jika kita gagal dalam ujian bukan bererti kita gagal dalam kehidupan tetapi sebenarnya kita perlu memperbaiki diri kerana terdapat kelemahan pada diri kita yang memerlukan kita perbetulkan.

Jika kita melepasi semua ujian yang telah ditentukan keatas diri kita maka kita akan merasa yakin dengan diri sendiri dan orang lain juga bolehlah menaruh harapan atau bergantung harap pada diri kita untuk melakukan sesuatu atau melaksanakan tugas. Ujian sebenar adalah kehidupan kita sendiri. Walaupun banyak ujian yang telah dan sedang kita hadapi tetapi kita masih lupa dengan matlamat dan tujuan kita hidup iaitu untuk beribadat kepada Allah.

Tuesday, March 9, 2010

Isi dengan kuku

Isi dan kuku tidak dapat dipisahkan kerana ia telah dijadikan bersama-sama. Jika ada isi maka di situ juga ada kuku. Kuku ditugaskan untuk melindungi isinya. Sebab itu ia lebih keras bentuk dan fizikalnya. Kuku semakin hari semakin panjang dan perlu dikerat untuk menentukan bentuknya dan sesuai dengan jari dan isinya. Jika tiada kuku maka isi akan sangat sensitif kerana bentuk rupanya yang lembut.

Ketua dan anak buahnya juga diumpamakan seperti isi dan kuku. Ketua perlu melindungi anak buahnya. Setiap perkara yang dilakukan pleh anak buahnya perlulah mengikut arahan ketuanya. Sebab itu ketua mempunyai lebih tanggungjawab kepada anak buahnya. Tetapi jika anak buahnya melakukan kesalahan maka sesuatu perlu dilakukan untuk melindungi organisasi. Organisasi lebih penting daripada individu termasuklah ketua. Jika ketua sendiri yang melakukan kesalahan maka dengan sendirinya ketua tersebut tidak lagi layak untuk berkhidmat disitu. Setiap perkara ada aturannya dan setiap individu tidak boleh lepas daripadanya jika melakukan kesalahan.

Sunday, March 7, 2010

Bekerja berkhidmat

Bertanggungjawab dengan apa yang telah kita lakukan. Jika kita bersalah maka perbaikilah diri dan perbetulkan kesilapan. Terlajak perahu boleh diundur jika terlajak kata maka padahlah akibatnya. Mengapa kita sering menyalahkan orang lain untuk menunjukkan diri kita betul. Kenapa tidak kita memperbetulkan diri kita menjadi yang terbaik dan contoh kepada mereka.

Jika kita berkumpulan maka kita juga bertanggungjawab terhadap kumpulan kita. Kita perlu menghormati mereka sebagaimana kita ingin mereka menghormati kita. Akan terlantiklah seorang ketua yang perlu dihormati semua dan juga sebagai wakil kepada kumpulan. Bertindak secara berkompromi dan berjemaah dengan kepentingan semua. Tiada lagi kepentingan sendiri kerana kepentingan kumpulan telah meliputi semua.

Jika ketua dan orang yang berkuasa melakukan kesilapan maka tindakan juga perlu diambil kepada mereka dan bukan hanya kepada ahli bawahan sahaja. Setiap perkara itu ada peraturan dan undang-undangnya dan semestinya tindakannya lebih drastik. Harapkan pagar, pagar makan padi. Tanggungjawab adalah amanah yang diberikan kepada seseorang itu maka jujurlah dan amanahlah kepada tanggungjawab tersebut.

Friday, March 5, 2010

Bertanggungjawab dengan kuasa yang ada

Kenapa kita hanya menonjolkan kebaikkan diri kita dan keburukkan orang lain. Seolah-olah hanya kita sahaja yang pandai dan mereka sahaja yang bersalah dan tidak pandai. Siapa kita yang boleh menilai seseorang itu dan menjatuhkan hukuman dan bagaimana pula dengan diri kita yang kita nilai sendiri. Tidakkah menutup aib orang lain itu adalah merupakan perkara yang dituntut. Bersikap adillah kepada diri sendiri dan orang lain semasa kita berkuasa. Bertindak mengikut peraturan dan perlembagaan. Jika berlaku kesalahan perlulah diambil tindakan yang adil dan saksama. Janganlah terdapat pilih kasih serta penganiayaan dalam membuat sebarang keputusan kerana kita akan dipertanggungjawabkan segalanya kemudian nanti. Sememangnya kita berkuasa tetapi mungkin juga kita telah menyalahguna kuasa atau tersilap membuat keputusan disebabkan kurangnya maklumat atau tersalah maklumat yang diperolehi atau mempunyai agenda tersembunyi dalam tindakan kita. Jika penganiayaan berlaku daripada keputusan tindakan kita tersebut maka sebenarnya kitalah yang paling jahat dan keji kerana kuasa tersebut. Semua perkara memerlukan ilmu, berlandaskan kepada keadilan dan kebenaran tanpa penganiayaan dan penindasan serta penyalahgunaan kuasa.

Kebijaksanaan mencerminkan tahap diri kita yang sebenar. Bijak membuat keputusan demi kesejahteraan dan keharmonian semua.

Thursday, March 4, 2010

Lupa diri

Manusia cepat berubah dengan kemajuan yang sedang dinikmati sekarang. Banyak perkara yang dahulunya janggal untuk dilakukan tetapi sekarang ia merupakan rutin harian mereka. Perubahan teknologi dan kemajuan yang semakin berkembang pesat sekarang membuatkan kita lupa atau melupakan sejarah silam kita serta asal usul kita. Kita beranggapan bahawa diri kitalah yang menjadi ajen perubahan ini tetapi sebenarnya kita hanya satu barangan yang telah diubah dan ditambah nilai. Ia samalah seperti kita mencipta satu produk yang kemudian ditambah nilai dan akhirnya diedarkan untuk digunakan. Produk tersebut tidak akan dapat balik ke bentuk asal dan akhirnya produk tersebut akan digunakan sehingga ia tidak boleh diguna lagi dan dibuang. Tamatlah riwayat produk tersebut. Tempoh satu-satu produk tersebut bergantung kepada ketahanan dan kepentingan dirinya kepada orang lain. Tetapi sedarlah bahawa semuanya akan berakhir yang tiada yang akan kekal kecuali diriNya.

Monday, March 1, 2010

Ukur baju badan sendiri

Kenapa perlu kepada kepakaran untuk maju kehadapan. Bukan semua orang boleh memikirkan dan melaksanakan tugas. Walau sesenang mana pun tugas tersebut maka ia perlu diserahkan kepada yang mahir dan pakar untuk melaksanakan dengan sasaran tertentu sebagai tanda aras. Semua orang akan berpuas hati dengan kerja yang telah mereka laksanakan dan kemudian dituruti dengan berbagai alasan sebagai sokongan dan alasan. Jika tugas tersebut telah ditanda araskan maka kita dapat mengurangkan alasan kerana pencapaian diutamakan dalam pengurusan. Mereka perlu memberi alasan kepada diri sendiri kenapa ia mencapai tahap sebegitu dan dengan sendirinya mereka akan mengalah dan tahu keupayaan diri sendiri. Ini juga dapat mengelak daripada kita melarikan diri dari tanggungjawab atau menyerahkan tugas kita kepada orang lain. Kita juga perlu memikirkan hasilnya sebelum sesuatu tugas itu dilaksanakan dan bukannya selepas ianya dilaksanakan. Ini untuk mengelakkan daripada melakukan tugas yang sia-sia dan membazir tanpa matlamat dan arah.

Perancangan yang teliti dan kemas dapat mengelakkan pembaziran dan meningkatkan hasil dan juga mengelakkan daripada salah menyalahkan orang lain. Keupayaan seseorang juga dapat diukur sendiri oleh pelaksana tersebut kerana ukur baju badan sendiri.