Assalamualaikum

Pengalaman dan tahap pendidikan membezakan cara kita berfikir dan bertindak.

Sunday, June 27, 2010

Memberi, meminta dan mencuri

Memberi adalah perbuatan yang mulia. Meminta-minta pula tidak digalakkan dalam Islam. Tangan yang di sebelah atas adalah lebih mulia daripada tangan yang disebelah bawah dan mulakanlah dengan saudara kita sendiri. Setiap kepunyaan kita ada hak orang lain di dalamnya. Ini bermakna kita juga bertanggungjawab membantu mereka yang susah dan miskin dengan peraturan yang tertetnu.

Kita juga tidak dibenarkan sombong, riak dan takbur sesama kita kerana kemulian yang sebenar adalah di sisi Allah. Manusia tidak boleh menjatuhkan hukuman dengan sesuka hati kecuali mendapat keredhaan Allah.

Setiap orang ada rezekinya. Rezeki seseorang itu tidak sama pada setiap hari. Kita dituntut berusaha untuk mendapatkan sesuatu terutamanya mencari rezeki. Merancang sesuatu sebelum melaksanakannya adalah tindakan yang bijaksana serta matang. Secupak takkan jadi segantang adalah silap kerana kita berhak mengubah nasib kita dengan cara menggunakan akal serta tenaga dan kuat berusaha.

Jangan sesekali kita mencuri kerana kehinaan kita adalah dari perbuatan kita yang salah dan jahat. Meminta-minta adalah lebih baik dari mencuri kerana hak orang adalah dilindungi sehingga ke akhirat.

Beribadat, beriman, bertaqwa dan berilmu

Bekerjalah kita untuk hidup kerana kehidupan itu perlu diteruskan sehingga ke hujung hayat kita. Bekerjalah kita seolah-olah kita akan hidup seribu tahun dan ingatlah Allah dan beribadatlah seolah-olah kita akan mati esok hari.

Beriman kepada Allah dengan setulus hati dengan melaksanakan apa yang diperintahkan olehNya dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya.

Kita juga dituntut beriman kepadaNya, malaikatNya, kitabNya, nabi dan rasulNya, hari akhirat dan Qada dan Qadar. Iman itu ucapan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melalui perbuatan anggota.

Bertaqwa bererti takut kepada azab dan murka Allah dengan memelihara iman, menghindar kemungkaran dan mentaati suruhannya.

Berilmu pula dituntut kepada manusia iaitu menuntut ilmu itu adalah wajib dari dalam buaian hingga ke hujung dunia atau sampai ke negeri China iaitu walau melalui orang bukan Islam sekalipun dan sehingga akhir hayat. Orang yang berilmu akan dinaikkan darjatnya oleh Allah.

Segala kebaikkan adalah datangnya dari Allah dan keburukkan adalah dari diri kita sendiri. Ini adalah kerana Allah yang menjadikan kita dan mempunyai hak mutlak ke atas diri kita dan kesuluruhan alam ini.

Kita mempunyai pilihan untuk melakukan kebaikkan atau keburukkan tersebut. Kebaikkan tersebut adalah dituntut olehNya dan kemungkaran itu dilarangNya. Setiap amalan baik akan diberi ganjaran dan pembalasan kepada setiap kemungkaran dan begitulah sebaliknya.

Pilihlah dan buatlah keputusan arah hidup kita dengan baik dan bijaksana.

Saturday, June 19, 2010

Lain padang, lain belalangnya

Lain tempat kerja lain pula kerenahnya. Ia bergantung kepada budaya kerja sesuatu tempat tersebut. Lebih lama kita bekerja di sesuatu tempat itu, maka lebih selesalah bekerja di situ. Mungkin disebabkan kita telah mengenali keadaannya dan selesa dengannya.

Jika berada di tempat kerja baru, maka pertamanya kita akan di anggap orang baru dan perlu menyesuaikan diri. Kemungkinan gajai yang di tawarkan kurang menarik dengan tanggungjawab kerja yang terpaksa dilaksanakan. Seniority kita akan di tarik balik dan kita akan di anggap junior atau orang baru.

Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki dan sentiasalah menghargai apa yang kita ada.

Friday, June 18, 2010

Peluang menambah pendapatan

Tak semua peluang sesuai dengan kehendak dan keinginan kita. Walaupun peluang itu dapat menambah pendapatan kita tapi ianya mempunyai syarat-syarat tertentu serta peraturan yang perlu dipatuhi.

Mungkin bagi sesetengah orang peluang itu amat beerti bagi mereka tetapi bagi orang lain pula ianya hanya menambah masalah bagi mereka. Ini disebabkan mereka terpaksa meninggalkan apa yang sedang mereka buat demi masa depan yang lebih baik.

Peluang tidak sama bagi semua orang dan pilihlah peluang yang terbaik untuk diri sendiri dan jangan sesekali terpengaruh dengan pilihan orang lain kerana berkemungkinan ianya lebih sesuai atau tidak sesuai langsung untuk orang yang tertentu.

Wednesday, June 2, 2010

Rezeki ada di mana-mana

Rezeki, jodoh, pertemuan dan ajal maut adalah ketentuan Ilahi. Manusia hanya boleh merancang dan berusaha sebaiknya dan Allah juga yang menentukannya. Berdoa dan redha dengan apa yang berlaku adalah langkah dan jalan terbaik bagi umat manusia.

Jika kita gagal sekali bukannya bererti kita akan gagal selamanya. Tetapi kita sendirilah yang bertanggungjawab menentukan corak dan jalan hidup kita kerana kita lebih mengetahui kebolehan dan keupayaan kita daripada orang lain. Berusahalah dan mulakanlah sesuatu kerana setiap pemulaan itu jika dirancang dan diatur dengan baik maka akhirannya juga mungkin membawa kebaikkan kepada kita.

Anggaplah kesilapan dan kesalahan kita sebelum ini sebagai satu pembelajaran yang tiada nilainya serta pengajaran buat kita untuk terus mengharungi kehidupan kita seterusnya. Ingatlah mereka yang tersayang yang berada di sekeliling kita. Kenapa mereka masih sanggup bersama kita semasa kita mengalami dugaan dan cabaran hidup yang amat memilukan. Mereka akan tetap bersama kita walau apa pun berlaku dan bertanggungjawablah terhadap mereka dengan berusaha memperbaiki kehidupan kita seterusnya.

Mungkin kita perlu memulakan kehidupan kita semula dengan cara yang lebih baik dan bersungguh-sungguh serta elakkan dari membuat kesilapan yang akan merugikan kita baik di sunia mahupun di akhirat. Rezeki secupak tak akan menjadi segantang tetapi rezeki akan bertambah lebih daripada segantang atau lebih banyak dari itu jika kita berusaha bersungguh-sungguh dengan menetapkan matlamat dan usaha kita.

Maafkan kawan dan lawan

Hidup ini perlu realistik. Perlu berpijak di bumi nyata. Perlu mengaku kekuatan dan kelebihan orang lain walaupun diri kita sebenarnya teraniaya dan mengalami kerugian.

Perlukah kita berdendam atau memendam rasa semata-mata disebabkan kita ini keras hati. Kita perlu mempunyai sikap memaafkan orang lain kerana dengan sendiri sebenarnya kita akan lebih bersikap terbuka, ikhlas dan tulus. Ini bukannya semata-mata untuk memenangkan orang lain atau lawan kita tetapi lebih bersikap pemaaf dan menerima kenyataan.

Jika kita kalah dalam satu-satu pertarungan, maka kita hendaklah menerima kenyataan bahawa kita sudah kalah walau apa keadaan sekalipun samada secara ia berlaku secara adil atau tidak. Ia juga samalah seperti jika kita mengalami kecurian atau kehilangan sesuatu barangan dengan cara diambil orang maka itulah ketentuanNya. Begitu jugalah jika kita mengalami kemalangan maka redhailah ia kerana juga telah ditentukanNya.

Jodoh, rezeki dan ajal maut ditangan Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui. Berdoalah kita semoga kita mendapat hidayah dan berkatnya semasa menjalani hidup kita ini. Mungkin ada hikmat di sebalik kekecewaan dan kekalahan kita itu.

Jika perlu kita berusahalah menuntut keadilan dan hak kita dengan cara yang telah ditetapkan iaitu keadilan atau melalui mahkamah. Mungkin rezeki kita ada tapi dengan cara yang rumit untuk mendapatkannya di samping memerlukan pemahaman yang lebih luas dengan ilmu yang ada.

Walau apa pun kemarahan dan tidak berpuas hatinya kita terhadap perbuatan mereka itu, yang terbaiknya adalah memaafkanlah kawan dan lawan kita itu. Semoga tiadanya dendam antara kita kerana sifat dendam itu sebenarnya akan memakan diri kita sendiri.

Ramai orang yang sedang mengalami dan menjalani rawatan sakit mental adalah disebabkan ia tidak boleh memaafkan orang lain. Sifat dan sikap berdendam mereka itu akhirnya membuatkan kita sukar untuk meneruskan kehidupan kita dengan baik dan gembira. Jika kita memaafkan orang lain maka Allah akan melapangkan diri kita kerana Allah lagi maha pengampun terhadap kesalahan dan dosa yang lebih dahsyat dan besar yang dilakukan oleh umatnya jika umatnya menginsafinya.